SEJARAH PENUBUHAN
Pada pertengahan tahun 70 – an RISDA banyak mendirikan Pusat Memproses Getah Berkelompok ( PMGB ) yang kemudiannya ditukar nama kepada Pusat Pembangunan Pekebun Kecil ( PPPK ). Terdapat lebih kurang 32 buah pusat ini didirikan di seluruh Pulau Pinang / Seberang Perai. Tujuan pembinaan pusat ini adalah untuk meningkatkan mutu keping getah dan secara tidak langsung akan memberi pulangan harga yang lebih baik juga menjalankan apa-apa aktiviti untuk kebaikan Pekebun Kecil di pusat ini. RISDA telah menyediakan alat-alat memproses keping getah seperti mesin getah, takung, baldi, timba, penapis, kemudahan air dan lain-lain lagi. Dari lebih kurang 32 buah pusat ini, ada beberapa pusat yang maju seperti PPPK Kampung Baru, Permatang Berangan, Kampung Tok Bedu, Air Melintas, Lubuk Meriam, Padang Chempedak, Jarak Atas dan Pokok Sena di Seberang Perai Utara. PPPK Kg Pelet, Guar Perahu, Padang Ibu, Bukit Indera Muda, Mengkuang dan Bukit Teh di Seberang Perai Tengah. PPPK Sungai Kechil, Sungai Duri, Padang Lalang, Junjung dan Tasek Chempedak di Seberang Perai Selatan. PPPK Batu Maung, Kampung Seronok dan Permatang Pasir di Barat Daya.
Oleh sebab harga getah keping ketika itu tidak menentu, RISDA telah menggalakkan Pekebun-Pekebun Kecil menjual keping getah mereka secara berkelompok atau beramai-ramai di pusat ini dengan cara harganya di tender terlebih dahulu. Pada awalnya tender harga ini dibuat oleh PPPK berkenaan sahaja. Setelah dibuat kajian untuk mendapat harga yang lebih tinggi lagi oleh pihak RISDA / AJK PPPK maka tender harga dibuat hanya satu sahaja di seluruh Pulau Pinang. Cara begini keping getah dapat dijual dengan banyak dan kuasa tawar menawar harga ada pada tangan Pekebun Kecil. Untuk mengemaskinikan cara ini RISDA / AJK PPPK telah menubuhkan Gabungan Pusat Pembangunan Pekebun Kecil Negeri Pulau Pinang.
Sejarah penubuhannya, Gabungan ini mengendalikan kerja-kerja tender dan kerja-kerja belian dibuat oleh Gabungan dengan kerjasama RISDA. Pada 31 Julai 1977 bermulalah aktiviti ini. Boleh dikatakan semua kakitangan luar RISDA terlibat untuk menjayakan usaha ini. AJK Gabungan ini terdiri daripada AJK PPPK. Gabungan mengenakan caj sebanyak RM 1.00 bagi setiap 1 pikul berat keping getah kemudian membahagikan sebanyak 50 sen kepada Gabungan, 25 sen kepada PPPK berkenaan dan 25sen kepada pekerja-pekerja yang mengendalikan jualan getah berkelompok. Oleh sebab Gabungan ini tidak berdaftar dan wang simpanannya tidak dapat dibuat secara teratur maka pegawai-pegawai atasan RISDA ketika itu mencadangkan agar ditubuhkan Koperasi Pekebun Kecil.
Di Pulau Pinang pegawai RISDA yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Nasir bin Haji Abdullah dan AJK Gabungan yang diketuai oleh Pengerusinya Tuan Haji Idrus bin Awang dan lain-lain telah bertungkus lumus mencari ahli untuk pendaftaran. Kerja-kerja ini bermula penghujung tahun 1979 dan pelancarannya di buat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam, SPT. Setelah cukup 100 orang yang membolehkan dibuat pendaftaran dan kerja-kerja merangka Undang-Undang Kecil Koperasi siap maka pendaftaran pun dibuat melalui Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) ketika itu. Ketua Pendaftar Koperasi-Koperasi Malaysia meluluskan pendaftaran Koperasi ini dengan nama Koperasi Pekebun Kecil Getah Negeri Pulau Pinang Berhad pada 21 Julai 1980. Kemudian namanya ditukar kepada Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad pada 13 Mei 1996. Salah satu aktiviti Koperasi ketika itu membeli getah keping di PPPK.
Pengerusi pertama Koperasi ini ialah Tuan Haji Idrus bin Awang dan Pengurus Besarnya ialah Tuan Haji Mohd Nasir bin Haji Abdullah. Pada tahun ini genaplah 45 tahun usia Koperasi kita. Segala pengorbanan, tenaga, wang ringgit, susah payah, penat lelah mereka-mereka yang terlibat dengan penubuhan Koperasi ini, setinggi-tinggi terima kasih diberikan kepada mereka. Semoga Allah sahaja yang akan membalas jasa baik mereka ini. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Koperasi ini terus maju.
Sekian.
Idea penubuhan Koperasi Pekebun Kecil ( KPK ) bukan datang dari atau kemahuan Pekebun Kecil. Tetapi ia datang dari kehendak RISDA kerana pegawai-pegawai RISDA pada ketika itu mempunyai misi dan pandangan yang jauh demi untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Pekebun Kecil dari segi ekonomi selaras dengan matlamat penubuhan RISDA. Adalah menjadi tanggungjawab bersama RISDA dan Pekebun Kecil membantu memajukan Koperasi ini.
Disediakan oleh ,
TUAN HAJI ZUBAIR BIN MOHD GHOUSE